Melalui internet, seseorang itu terdedah kepada sesiapa sahaja yang ingin memanipulasi anda dan anda juga terdedah kepada kandungan-kandungan yang tidak sihat dan tidak bermoral. Jadi anda perlu KLIK DENGAN BIJAK yang bermaksud anda perlu berhati-hati apabila melayari internet. Antara beberapa panduan penggunaan internet secara selamat dan berhemah ialah jangan berkongsi sebarang kata laluan dan nama yang digunakan. Anda boleh menukar kata laluan anda sekerap yang boleh dan jangan kongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan nombor telefon dengan orang yang tidak dikenali. Seterusnya, anda perlu bijak apabila berkongsi. Fikirkan dahulu sebelum meletakkan apa-apa gambar atau kandungan-kandungan yang ingin dikongsi bersama rakan-rakan maya anda. Ingat, apa-apa kandungan yang dikongsi atau dimuat naik oleh anda berkemungkinan tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dari alam siber. Terakhir, berbudi bahasa dan jangan sebarkan fitnah. Hormati orang lain ketika anda berkongsi pandangan dan jangan membiarkan emosi mempengaruhi anda, jangan sebar khabar angin, rujuk dahulu dengan sumber yang boleh dipercayai dan elakkan daripada menggunakan perkataan yang berbaur perkauman atau lucah.